SARANA IBU BAPA DAN SEKOLAH.

Pengenalan.
Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya.

Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia
Pelan pembangunan pendidikan ini berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaaan sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan (Ekshibit 7). Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh peserta Dialog Nasional Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan berprestasi tinggi juga menetapkan teras yang sama yang perlu dicapai. Tindakan bagi merealisasikan lima teras berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras berkenaan yang boleh dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan dan digerakkan secara bersama.


Aspirasi Murid

Menjangkaui seluruh sistem pendidikan ini, pihak berkepentingan jelas mengenai konsep “kualiti” yang perlu ada pada setiap murid. Maka pendidik, ibu bapa, murid dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Visi ini juga menjadi asas kepada semua usaha penambahbaikan sistem pendidikan sejak Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal pada tahun 1988.


Anjakan Utama Untuk Mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara

Anjakan 9 : Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
Mengapakah perlu? : Kajian antarabangsa menunjukkan dengan jelas bahawa proses pembelajaran turut berlaku di luar sekolah, termasuk di rumah dan dalam masyarakat. Di Malaysia, kira-kira satu per empat daripada masa murid yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun dihabiskan di sekolah. Oleh itu, keutamaan kini adalah melakukan anjakan daripada “pembelajaran sekolah” kepada “sistem pembelajaran” dengan melibatkan ibu bapa, masyarakat, sektor swasta dan sektor sosial sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sesetengah pelibatan yang demikian meninggalkan kesan yang signifikan. Sebagai contoh, kajian OECD tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa dengan anak, seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan kegiatan harian, dapat meningkatkan keberhasilan murid secara signifikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. Kajian antarabangsa juga membuktikan bahawa sekolah yang melibatkan sektor perniagaan, organisasi awam dan institusi pengajian tinggi mendapat manfaat termasuklah gred yang lebih tinggi dan ketakhadiran murid yang rendah.

Apakah bentuk kejayaan? : Setiap ibu bapa akan menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak mereka, bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hari sukan dan hari penyerahan kad laporan, tetapi juga menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyediakan maklum balas tentang hal ehwal pengurusan berasaskan sekolah. Di samping itu, penggunaan sarana ibu bapa juga menyokong pembelajaran murid. Sekolah juga akan mempunyai rangkaian masyarakat dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu memberikan sumbangan kepakaran kepada kemajuan sekolah. Penglibatan semua pihak berkepentingan ini akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menegaskan pengajaran ilmu, kemahiran dan nilai kepada murid di sekolah.

Sumber : Laporan Awal – Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (September 2012)

Hasrat
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan anda mampu mengubah sistem pendidikan negara ke arah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan.


Sarana Ibu Bapa.

Sarana : (Segala) sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat dan sebagainya untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu.
- Kamus Dewan Edisi Keempat

Sarana Ibu Bapa merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah demi kecemerlangan masa hadapan negara yang tercinta : M A L A Y S I A

Sarana Sekolah
Sarana : (Segala) sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat dan sebagainya untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu.
- Kamus Dewan Edisi Keempat

Sarana Sekolah merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah demi kecemerlangan masa hadapan negara yang tercinta : M A L A Y S I A

Hasrat

Malaysia berhasrat untuk mempunyai sistem pembelajaran yang dapat meningkatkan kejayaan murid. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat – membantu murid berjaya.

Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak di rumah tidak dapat dinafikan. Kajian menunjukkan apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah dapat manfaat berikut :

keyakinan guru meningkat
pencapaian murid meningkat
ibu bapa merasa mereka sebahagian dari sekolah dan lebih menyokong program sekolah
kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan
hubungan lebih baik antara pentadbir, guru dan ibu bapa

(Olsen & Fuller, 2008)

Tujuan

Sarana Penglibatan Sekolah dengan Ibu Bapa dan Komuniti bertujuan memperkenalkan sekolah kepada enam (6) elemen yang akan menyokong Sistem Pembelajaran. Elemen-elemen tersebut, apabila dilaksanakan dengan sempurna akan meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak mereka dan juga penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah.

Rakan Kongsi Sekolah

Dalam merangka program bagi melaksanakan elemen-elemen yang menyokong pembelajaran, sekolah perlu bergabung dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) / Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) / alumni serta ahli komuniti setempat kerana semuanya merupakan rakan kongsi dalam mencemerlangkan murid.

Mahukah anda menjadi rakan kongsi sekolah? Kecemerlangan anak-anak kita mungkin berpunca daripada anda sebagai rakan kongsi sekolah. Sila hubungi Guru Besar / Pengetua / YDP PIBG yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...